Awal 90-an dahulu, internet tidak meluas. Lebih tepat lagi kalau dikatakan, tak ada pun internet. Kami juga tidak bekerja dengan komputer. Kami bekerja dengan BERITEKS... teks berita ringkas yang disediakan oleh BERNAMA. Perhubungan kami banyak dilakukan menerusi TELEKS dan FAKS. Telefon yang paling sibuk adalah telefon pejabat - HUNTING LINE - bukannya telefon tangan, bahkan tidak seorang pun daripada kami yang memiliki telefon tangan kecuali boss besar kami. MMS, portal, SMS, 3G dan seangkatan dengannya tidak pernah kami dengar dan ketahui. Trading hanya dilakukan dengan borang kecil berwarna coklat untuk SELLING dan borang berwarna biru untuk BUYING yang dihantar dengan faks, yang sudah tentu hanya diterima oleh Securities di Hong Kong dalam bentuk hitam putih.
Akhbar, majalah, dan buku yang berkaitan dengan kewangan merupakan rujukan utama kami. Kami bekerja dengan fail kertas, bukannya folder di dalam komputer. Satu-satunya komputer yang ada, hanyalah untuk riadah apabila waktu TRADING tamat atau semasa Hong Kong bercuti sedangkan Malaysia tidak bercuti.
Kami bekerja dengan waktu Hong Kong. Jadi, waktu cuti kami, sudah tentulah berbeza. Biasanya, kami tidak berhari raya sebaliknya BERTAHUN BARU CINA dan BERKRISMAS. Untungnya, Dr. Mahathir telah melaraskan waktu di Malaysia dengan mempercepatkan setengah jam di Semenanjung pada waktu itu. Jadi, waktu kerja kami samalah dengan waktu kerja di Hong Kong.
Antara salah satu perkara yang wajib kami tahu ialah input-input baru dalam rejim kewangan, dasar-dasar negara, kadar faedah mahupun perubahan politik di sesebuah negara, terutama yang membabitkan Hang Seng, Dow Jones, Nikkei dan FT. Sebabnya, keempat-empat bursa inilah yang akan mempengaruhi naik turun indeks bursa-bursa di seluruh dunia.
Untuk itu, kami kena sentiasa 'alert'. Kemudahan maklumat pada waktu itu, tidak seperti sekarang. Satu-satunya tempat yang ada, hanyalah di pejabat. Menghadap televisyen yang hanya menyiarkan berita teks yang diupdate pada setiap saat. Satu lagi ialah, stick indeks yang menjadi penanda aras kepada open high atau open low pada keesokan harinya... itu pun kalau tak ada apa-apa yang bersifat market manipulation ler...
Disebabkan itu, kami yang masih muda dan belum berumahtangga, biasanya berumahtangga di pejabat. Tempat tidur kami adalah di bawah meja di pejabat masing-masing. Bagi yang tidak mempunyai bilik, mereka biasanya akan tidur di bawah meja masing-masing yang diletakkan secara memanjang di kawasan lapang di tengah-tengah pejabat yang dikelilingi oleh televisyen-televisyen yang tidak pernah menayangkan drama atau lagu-lagu daripada tiga rangkaian percuma pada waktu itu.
Yang berfikiran kreatif sedikit, tidak akan tidur di pejabat, sebaliknya ke Gold Mine. Geng-geng aku - termasuklah aku - diberikan bilik yang dilengkapi dengan mesin-mesin slot yang tidak pernah sunyi. Kami ada katil dan almari kecil di situ. Pun begitu, seseorang perlu tinggal di pejabat untuk mencatatkan segala berita baru. Kemudian menghubungi kami dengan menggunakan telefon pejabat ke telefon kelab berkenaan.
Tahun 1995, aku kembali tidur di pejabat. Masa itu aku dah pun menceburi dunia penerbitan. Bukan kerana menunggu input baru, sebaliknya kerana aku dalam kebanyakan masa, tidak mempunyai duit yang cukup untuk tambang balik. Jadi, bermalamlah aku di pejabat di Bandar Seri Damansara Fasa 1 bersama-sama seorang lagi kawan.
Apabila aku masuk ke pejabat di Bangsar pada tahun yang sama, aku melihat rakan-rakan ilustrator yang hidup berumahtangga di pejabat. Keadaan mereka jauh lebih baik berbanding kartunis-kartunis yang sebelum itu turut berumahtangga di pejabat.
Bangsar banyak mengajar aku erti dunia penerbitan yang sebenar. Bekerja dengan dateline, benar-benar berbeza daripada kerja dengan berita semasa. Nama-nama seperti Cik Li Manjalong, Kulat, Roslem, Boy P.J, Aloy dan Ujang - sekadar menyebut beberapa nama - banyak memberikan inspirasi kepada aku... terutama dalam meniru hasil kerja mereka dan melihat persaingan yang wujud antara mereka bagi menghasilkan karya yang baik. Dengan bimbingan Azman Yusof, Jaafar Taib, Adi Alhadi, Haji Zainal Buang Hussein, kami sentiasa digalak untuk mencari 'identiti' masing-masing dalam berkarya. Dan aku lebih untung, kerana aku berada di bawah Adi Alhadi, manakala saingan aku pula adalah Leemadnoor yang lebih berpengalaman. Mereka ini tidak lokek apabila ditanya atau diminta bantuan.
Malah aku turut belajar satu lagi iaitu layout dan setting... Lan Kapal, Endegedek, Rosli Aman, Dan Yusof, Kerengge, Shah .. biarpun mereka agak lokek untuk mengajar tetapi mereka tidak pernah menghalau aku apabila aku sedang 'mencuri' teknik kerja mereka di studio DTP di tingkat 3. Biarpun mereka menggunakan perisian yang aku tidak mahir seperti Quark Express, Photoshop dan Illustrator, sedangkan aku pula cenderung menggunakan Pagemaker dan CorelDraw, namun teknik-teknik tersebut sentiasa tergunapakai.
DTP pada masa itu sangat berbangga dengan penggunaan komputer dari jenis Apple Macintosh, sedangkan aku pula hanya mampu memiliki komputer klon yang lebih dikenali sebagai IBM meskipun bukan berjenama IBM. Dan untuk komputer klon seperti aku, hanya perisian-perisian seperti Pagemaker dan CorelDraw sahaja yang layak dimasukkan, apatah lagi dengan kapasiti Hard Disknya yang tidak melebihi 20 Mb dan RAM pula kalau sekarang ini hanya boleh digunakan untuk bermain Otello atau Mario.
Bekerja dengan budak-budak kartunis, sememangnya boleh menyebabkan litar di otak, short circuit. Bayangkanlah, kalau datang seorang kartunis untuk menghantar bahan kerjanya, dia akan menghadap editor dan terus sujud sambil berkata,
"Wahai tuhanku, aku nak hantar artwork nih. Kau tolonglah tengok-tengokkan harganya."
Cakap masing-masing, bagi orang luar, kedengaran seperti golongan musyrik. Tu belum lagi dipasang colok dan diletakkan epal tiga biji di hadapan kaki... Belum lagi dilambung sekeping roti canai dan ditenyeh ke lantai kemudian, dimakan beramai-ramai tanpa rasa jijik. Atau air bancuhan colour yang rupanya saling tidak ubah seperti teh tarik, ditelan menggantikan teh tarik... pastinya mengundang tanggapan yang pelbagai daripada khalayak awam.
Tapi itulah kami... yang kini, masing-masing sudah berumahtangga, 'sudah kembali ke jalan yang benar', yang nama masing-masing terpampang sama ada di media elektronik mahupun media massa. Yang dahulunya hidup dengan keglamouran tetapi kocek seringkali kosong. Yang dahulunya hidup untuk karya dan hasil kerja terbaik. Yang dahulunya hidup pada hari Sabtu dengan lawatan dari seluruh negara ke pejabat kecil kami. Yang dahulunya, hidup pada hari Minggu memenuhi jemputan dan undangan untuk bermain bola sepak biarpun kami tidak pernah menang, biarpun hanya berlawan dengan tiang gol.
Dan sesekali apabila dapat keluar dari pejabat dan KL, contohnya ke Taman Negara Pahang, jadilah kami seperti mana karya-karya kami yang pernah disiarkan.
Secara tiba-tiba aku teringatkan si Kulat yang terkenal dengan Mat Metal dan Mat Malaya pada zaman kemuncaknya sebagai kartunis, Asan dengan Jaki Jipang, Aloy dengan Taukeh, Ramzahurin, Kidd, Gedek, Aman yang datang sesekali melawat, Long, Don, Lee Inas, arwah Pak Jab yang sangat gemar berfalsampah dengan aku dan memberikan ruang di bilik mesyuarat untuk aku tidur dari aku datang ke pejabat sampailah waktu orang lain semua dah balik.... banyak betul kenangan aku dengan diorang... banyak benar ilmu yang aku perolehi daripada diorang sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.
Sayangnya aku tidak pernah menyimpan gambar-gambar kenangan aku dengan mereka. Seperti mana kata Adi Alhadi kepada aku tentang betapa kesalnya kerana tidak gemar bergambar dengan arwah Pak Sako yang gemar menghisap rokok Perilyys berbatang-batang atau dengan arwah Pak Samad Ismail yang mulutnya tidak pernah lekang dengan maki hamun setiap kami bertemu dengannya sama ada di Hilton PJ atau pun di rumahnya.
Banyak budi Orang Tua Jaafar, Ayah Man, Haji Zainal kepada aku... tak terbalas jasa dan budi yang mereka telah curahkan dan peluang yang telah mereka bukakan untuk aku...
Orang Tua di sini bukan bermaksud tua pada usia atau renta pada badan, sebaliknya bermaksud boss besar!
Buat sekaliannya, terima kasih banyak-banyak....


