Dulu, aku selalu mendengar tentang keenakan terubok masin. Aku pandang sinis saja bab-bab ikan masin nih. Apa sangatlah sedap benda yang tak berkhasiat dan berzat, melainkan masin semata-mata.
Kali pertama aku dapat makan terubuk masin ialah bila abang sepupu aku, Along Aziz yang merupakan seorang pegawai polis di Kuching, balik ke Semenanjung pada tahun 1985 bersama isteri dan anak-anaknya. Kebetulan masa aku balik ke kampung Mak Ngah di Rantau, Seremban, Along Aziz dah dua hari sampai.
Mak Ngah goreng ikan terubok masin tu. Macam biasa juga, aku akan makan dengan Pak Ngah. Seronok sungguh Pak Ngah makan nasi berulamkan ikan terubok masin. Aku cubit sikit dan kujamah... nyata terubok masin tidak seperti ikan-ikan masin yang lain. Sedapnya mencuat...
Lama kemudian, aku terlupa tentang terubok masin. Hanya apabila adik perempuan aku, Siti Hajar yang rajin merayap dan melancong, pulang dari Sarawak membawa terubok masin dan telur terubok masin, barulah ingatan aku kembali. Bagaimanapun, aku tidaklah begitu menjamah sangat. Sebab kebetulan masa tu, aku tengah tak sihat.
Bila adik perempuan aku yang seorang lagi, Roslina balik dari Sarawak kerana tugasan syarikatnya membawa pulang seekor terubok masin, aku kembali berselera. Selain terubok masin, yang dibawa balik juga adalah belacan sarawak yang sama sekali berlainan daripada belacan Semenanjung. Kata orang, belacan sarawak guna udang besar, bukannya udang geragau. Barangkali itulah yang menyebabkan ia lebih sedap terutama kalau dibuat sambal belacan.
Suatu hari, aku ke Hotel Istana kerana ada function rasmi. Hotel lima bintang yang sewa biliknya mencecah enam ratus satu malam, menghidangkan menu istimewa pada hari itu, terubok masin, ulam-ulaman kampung dan segala macam kerabu... dari kerabu pucuk paku sampailah kerabu jantung pisang.
Aku sekadar memandang sinis. Seingat-ingat aku, inilah makanan orang kampung aku pada musim tengkujuh. Kecuali terubok masin dan telur terubok masin, ikan masin adalah nadi kehidupan orang-orang kampung seperti aku.
Rumah siapa yang tidak ada simpanan tamban kiat, gelama masam atau talang kering. Kalau dianggap mewah pun, cuma telur angsa masin atau telur jeruk. Kerabu pula bagaikan hidangan wajib untuk membuka selera. Apa saja boleh dijadikan kerabu... kecuali pucuk getah...
Tok cukup suka dengan tamban kiat. Kalau tak digoreng, tamban kiat tu dibakar atau dipanggang. Ikan talang masin pula akan dicampur dalam masak lemak cili api nanas. Sepat masin biasanya disertakan sekali dalam masak lemak cili api.
Jarang benar dapat makan ikan basah kalau musim tengkujuh. Selain harganya mahal, Pak Long Harun pun tak dapat keluar ke pekan sebab jalan dari kampung ke pekan Selama, lecah teruk. Musim tengkujuh, biarpun tidak mendatangkan banjir kepada kampung kami, tetapi telah menyebabkan kami terkurung dan putus hubungan dengan pekan-pekan berhampiran. Tidak ada jalan lain untuk ke Selama, Serdang mahupun Kulim. Gunung Bongsu bagaikan benteng Gog and Magog.
Bagi yang rajin, dapatlah merasa ikan tengas (kampung aku dinamakan sempena ikan ini. Kononnya dahulu banyak sungguh ikan ini... pendek kata, selak ikan baru jumpa air sungai ler... hehehe) dan jelawat batu. Tu pun kena naik ke Hulu Tengas dan menyusuri pangkal Sungai Tengas sehingga ke Gunung Bongsu. Paling banyak di Lata Lesung dan Lata Tinggi.
Tapi kalau dah musim hujan, lebih ramai yang berkurung di rumah. Dan selesai musim hujan, tok bidan sibuk bergerak dari rumah ke rumah untuk menyambut kelahiran bayi baru di kampung kami. Hujan seolah-olah telah menghentikan segala aktiviti dan musim hujan juga dianggap seperti tempoh rehat untuk orang kampung yang kebanyakannya memulakan kerja seawal pukul dua pagi.
Kerana itu, tamban kiat dan rakan-rakannya, sinonim dengan kehidupan kami pada era 70-an.
Sekarang, ikan masin dah mahal. Yang makan ikan masin bukan orang papa tapi orang-orang dari golongan pertengahan. Orang-orang atasan pula makan ikan masin di hotel-hotel mewah.
Dunia dah terbalik dan terpusing rupa-rupanya....

1 comments:
Wow!!! sedap betul tu....Ikan terubok masin sarawak memang sedap ...apa lagi..jika dicecah dengan limau nipis dan cili padi...nak beli ...skrg dah ada yang jual online..di
http://ikanterubokmasinsarawak.blogspot.com
Post a Comment